Thursday, July 18, 2013

Keboringan Tahap 1

Assalamualaikum.. Nah cerpen merapu di kala keboringan..hehe.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------

Jari jemarinya laju mengetuk papan kekunci komputer peribadi. Kerja yang sudah bertangguh sejak tiga hari lepas, minit mesyuarat Kuliah Dhuha CAMPRO (Campus Dakwah Project) terpapar di skrin komputernya. “Fokus!” Desis hati kecilnya. Lagu ‘Fobia Cinta’ menjadi sajian halwa telinganya. Senyuman terukir di bibir. Terasa sedikit lucu mendengarkan bait-bait lagu tersebut. “Keanak-anakan..tapi menarik juga.”

‘Headphone’ di kepala dibetulkan sedikit kedudukannya. Mendengar lagu sambil membuat kerja sudah menjadi tabiatnya. Sekurang-kurangnya dia berjaya menahan kantok. Laporan itu harus disiapkan segera. Mana tidaknya, sudah tiga hari tertunggak. Mujurlah Assistant Programme Manager (APM) memahami. Apatah lagi ini kali pertama dia memegang jawatan setiausaha, sudah tentulah masih belum cekap menulis laporan. Teringat dia perbualan dengan APM di bilik mesyuarat tiga hari lepas.

“Saya lantik awak jadi setiausaha tau.”

Matanya sedikit membulat. Dia menoleh ke arah pemilik suara disebelahnya. Wajah ceria APM itu dipandangnya. Baru sahaja melabuhkan punggung di kerusi dia sudah disergah dengan kenyataan itu. Nampaknya kali ini dia sudah tidak mampu melarikan diri lagi.

“Akak tak pernah putus asa dengan saya kan?” Pandangan APM ditentang. APM tergelak kecil sambil mengangguk-angguk. “Apa-apa jelah.” Dia tersenyum sendiri, malas membangkang.

Belajar daripada kehidupan, kutip setiap pengalaman..dia tahu itu. Laman pencarian Google dibuka. Beberapa contoh laporan minit mesyuarat diteliti. Bukan tidak pernah belajar di sekolah dahulu, cuma dia sudah ingat-ingat lupa. “Belajar utk lulus periksa beginilah jadinya.” Dia mengeluh sendiri. Tiba-tiba terasa ‘headphone’nya dialihkan drpd kepala. Eh ?

“Mengeluh apa tu Cik Setiausaha? Hehe..” Suara lunak itu menyapa gegendang telinganya. Dia menoleh ke belakang. Teman sebiliknya itu sedang tersenyum simpul. Lesung pipit jelas kelihatan di pipi kanannya. Adila ! Nakal sungguh orangnya.

“Teringat kat awaklah. Rindu. Seharian tak nampak,” usiknya sambil tersengih. Mengusik teman-teman sejantinanya sebegitu sudah menjadi kebiasaan. ‘Headphone’ ditangan Adila diambil dan disangkutkan ke leher.

“Hahaha..yelah tu.” Galak Adila tertawa senang sebelum menekup mulutnya dengan tangan, bimbang menganggu lena teman-teman sebilik yang lain. Mudah benar dia tertawa, pantang diusik. Muka gadis berkulit cerah itu sudai mulai kemerahan.

“Haha. Betul la. Awak tu kenapa tak tidur lagi ? Dah lewat ni.” Dia menukar topik bicara. Jam tangannya dikerling. Sudah melebihi angka 12 malam. Biasanya Adila sudah tidur pada waktu begini, kecuali ada tugasan yang menuntut lebih perhatian.

“Ha, saya nak tidur la ni. Saje jenguk awak buat kerja, ” ucapnya riang sambil menapak menghampiri. Pandangannya tertancap pada paparan di komputer peribadi itu. Laporan minit mesyuarat yang masih belum siap itu ditelitinya. “Bagus !” Bahu itu ditepuk perlahan. Senyuman manis menghiasi wajah Adila. Barisan giginya jelas kelihatan.

Dia tersengih. Sudah dikhabarkannya kepada Adila sedari pagi tadi supaya meneliti hasil kerjanya. Dia bukanlah seorang yang begitu arif mengenai laporan minit mesyuarat. Maka sewajarnya dia merujuk kepada yang lebih berpengalaman daripadanya. Namun, minit mesyuarat itu masih belum siap sepenuhnya. Baru 50 % yang siap. “Harus disiapkan malam ini jugak !” Dia nekad.

“Boleh saya tutup lampu kat siling ?” Adila mengunjuk lampu kalimantang yang bersinar terang itu.

“Yup, tutuplah. Saya pakai lampu belajar.”

“Okeh, ‘sorry’. Kalau tak tutup, nanti saya tak boleh tidur.”

“Haha, rilekslah. Selamat malam Adila.”

“Ok, selamat malam.”

Gadis itu berlalu pergi ke ruangannya dan dia menyambung kerja yang tertangguh. Menginjak ke jam 2.30 pagi, kantoknya semakin menjadi-jadi. Habis satu mug air milo panas diminumnya. Namun tidak berhasil menyegarkan matanya. Entah sudah kali ke berapa dia menguap. Matanya mulai terasa berat.  Badan juga terasa penat. Dia mengeliat sedikit, membetulkan urat-urat yang terasa berselirat. Laporan minit mesyuarat itu dipandangnya sepi.

“Tak sempat jugak nak siapkan malam ni.” Dia menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Dia berkira-kira mahu tidur sahaja. Kalau tidak ‘confirm’ esok dia mesti pengsan dalam kelas. Selesai menyimpan data minit mesyuaratnya, dia bingkas bangun dari duduknya, lampu belajar ditutup. Selimut diraih dan badannya direbahkan ke katil. Baru sahaja memejamkan mata, terus dia terlena. Penat sungguh barangkali !

-------------------------------------------------------------------------------------------------------

End.

No comments: